by Rosemaria Buma
February 13, 2010, Saturday
MIRI: Tiga budak yang sedang leka bermain di tepi sungai di kawasan setinggan Pujut 5 di sini terkejut dengan penemuan sebuah kotak hanyut berisi janin perempuan yang disangka anak patung.

BAHAN BUKTI: Pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Momie Gusti menunjukkan
sebuah beg berisi kotak yang mengandungi janin yang sudah tidak bernyawa.
Ketika ditemui, janin malang itu yang masih mempunyai tali pusat serta cukup sifat dibungkus dengan plastik berwarna merah jambu.Turut dijumpai di dalam plastik itu sekeping wang kertas RM10 dan dua batang jarum suntikan (picagari). Menurut sumber, pada tengah hari Khamis lalu, tiga budak terbabit, masing-masingnya seorang lelaki dan dua perempuan berusia antara lapan hingga 10 tahun sedang leka bermain air di tepi sungai di bawah rumah mereka yang terletak di kawasan setinggan Pujut 5 di sini. Ketika sedang bermain, tiba-tiba mereka ternampak sebuah beg mesra alam yang dihanyutkan arus tidak jauh dari tempat mereka bermain. Seorang daripada mereka menarik beg tersebut ke tebing sungai dan memeriksa kandungannya. Apabila diperiksa, mereka ternampak sebuah kotak kecil di dalamnya yang mengandungi satu bungkusan beg plastik merah jambu berisi janin berkenaan dengan bahagian kakinya terkeluar, sekeping wang kertas RM10 dan dua batang picagari.